Latar belakang Pemberontakan_Arab

Suasana di Turki

Kemunculan fahaman nasionalisme Arab di zaman Empayar Uthmaniyyah bermula pada tahun 1821. Nationalisme Arab berakar di wilayah Mashriq (tanah Arab di sebelah timur Mesir), terutama sekali di wilayah Syam (wilayah Levant). Pandangan politik para nasionalis Arab sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama pada amnya sederhana.

Revolusi Turki Muda bermula pada 3 Julai 1908 dan merebak dengan cepat ke seluruh empayar Turki. Ini menyebabkan sultan memulih kembali perlembagaan 1876 dan memanggil parlimen bersidang. Tuntutan Arab bersifat pembaharuan dan terhad kepada autonomi, penggunaan bahasa Arab yang lebih meluas dalam sistem pendidikan, dan perubahan kepada peraturan pengerahan tentera dalam waktu aman yang membenarkan penugasan tempatan bagi anggota Arab yang berkhidmat dalam tentera Uthmaniyyah.

Ahli parlimen Arab dalam parlimen Uthmaniyyah menyokong pembubaran Perlembagaan Kedua dan mengembalikan Sultan Abdul Hamid II sebagai raja. Sultan yang digulingkan itu cuba mengambil kembali tampuk kekhalifan dengan menamatkan polisi sekular Turki Muda, akan tetapi digulingkan semula ke Selanik dan akhirnya digantikan oleh saudaranya, Mehmed V Reşad.

Suasana di Hijaz (tanah Arab)

Syarif Husain bin Ali (di hadapan, memakai jubah)

Buat berkurun-kurun lamanya di Hijaz, wilayah barat semenanjung Arab di mana terletaknya bandar-bandar suci Islam Makkah dan Madinah, kuasa berpusat di tangan keluarga Syarif. Ahli-ahli keluarga ini, sebagai orang keturunan Nabi Muhammad, digelar Bani Hasyim. Berlainan daripada kebanyakan wilayah Empayar Uthmaniyyah, di Hijaz tidak terdapat banyak fahaman politik yang bersaing di kalangan golongan elit bandar. Ketua-ketua suku kaum bertindak sebagao penghubung kaum mereka dengan syarif dan jarang sekali mencabar kuasanya. Pencabar tunggal syarif ialah vali (gabenur) Uthmaniyyah wilayah itu. Vali bertanggungjawab memastikan kedaulatan kerajaan Uthmaniyyah di kawasannya. Satu perebutan kuasa timbul antara syarif dan vali; dengan peredaran masa kuasa membuat keputusan berulang-alik di antara vali dan syarif. Secara keseluruhannya suasana politik memberikan syarif pengaruh yang besar dan pada awal abad ke-20, syarif itu ialah Syarif Husain.[2]

Walaupun tidak terdapat bukti yang Syarif Husain berminat akan fahaman nasionalisme Arab sebelum tahun 1916, kemunculan nasionalisme Turki di dalam Empayar Uthmaniyyah yang berakhir dengan Revolusi Turki Muda pada tahun 1908 walau bagaimanpun tidak disenangi pihak bani Hasyim dan menyebabkan perselisah faham antara mereka dan para revolusioner Turki Muda Uthmaniyyah.[3] Semasa tercetusnya Perang Dunia Pertama Syarif Husain pada mulanya menjadi sekutu Uthmaniyyah, tetapi memulakan runfingan dengan pihak British atas nasihat anaknya Abdullah, yang telah menjadi ahli parlimen Uthmaniyyah sehingga tahun 1914, dan yang yakin bahawa mereka perlu berpisah daripada pentadbiran Uthmaniyyah yang semakin nasionalis.[3] [4]

Syarif Husain tidak berpuas hati dengan kuasanya yang terhad dan memulakan perbincangan dengan ketua-ketua suku kaum di wilayah itu, para nasionalis Arab, dan Pesuruhjaya Tinggi British di Mesir, Sir Henry McMahon. Husain maklum bahawa ramai Muslim mempercayai bahawa Syarif Makkah merupakan orang yang layak menjadi khalifah, jawatan yang sekarang disandang ahli keluarga pemerintah Uthmaniyyah. Bantuan British yang dijanjikan dalam Persuratan McMahon-Husain meyakinkan Husain bahawa tuntutan beliau menjadi khalifah dan menjadi pemerintah berdaulat tanah Arab itu benar. Lagipun – dan jauh lebih penting – janji-janji yang dibuat pihak British kepada Husain dalam Persuratan Husain-McMahon pada tahun 1915 dan 1916 membuat Husain berfikir sekiranya beliau mengetuai pemberontakan yang berjaya terhadap Uthmaniyyah, pihak British akan membantunya menubuhkan Kekhalifahan Arab yang merangkumi sebahagian besar tanah semenanjung Arab, sehingga ke negeri [kini] Turki di utara. Kendatipun pihak British tidak dapat menjanjikan beberapa wilayah yang terdahulunya telah mereka janjikan kepada pihak Perancis, percaturan nampak jelas kepada Syarif Husain dan beliau membuat persediaan untuk melancarkan Pemberontakan Arab.[5]